AMALAN KEROHANIAN MELALUI PENGALAMAN USAHAWAN ASNAF BERJAYA DI SELANGOR
DOI:
https://doi.org/10.5281/zenodo.11513804Keywords:
Amalan, Kerohanian, Usahawan Asnaf Berjaya, SelangorAbstract
Amalan kerohanian merangkumi pelbagai aktiviti kerohanian dan ibadah seperti solat, doa, zikir, puasa dan lain-lain. Dalam konteks keusahawanan, amalan kerohanian dianggap sebagai faktor penting yang membantu usahawan mengatasi cabaran dan mencapai kejayaan. Kajian ini bertujuan meneroka pengalaman usahawan asnaf yang berjaya di Selangor dengan fokus khusus pada amalan kerohanian. Kajian ini merupakan kajian kualitatif fenomenologi melibatkan tujuh orang ikon usahawan asnaf berjaya. Pengumpulan data dan maklumat dilakukan secara temu bual separa berstruktur dan dianalisis menggunakan kaedah fenomenologi dibantu perisian Atlas.ti versi 8. Hasil kajian menunjukkan bahawa amalan seperti solat, doa, dan zikir bukan sahaja membantu usahawan asnaf dalam mengurus tekanan dan cabaran perniagaan, tetapi juga membentuk etika kerja yang berasaskan nilai-nilai murni seperti kejujuran, kesabaran, dan tawakkal. Selain itu, penglibatan dalam aktiviti keagamaan dan komuniti memberikan sokongan sosial yang penting, membantu untuk kekal fokus dan bermotivasi. Kesimpulannya, amalan kerohanian telah terbukti memberikan impak yang signifikan terhadap kejayaan usahawan asnaf di Selangor, baik dari segi prestasi perniagaan mahupun kesejahteraan peribadi.



